Saturday, October 31, 2009







Bila bunga mula berputik

‘Makcik,boleh tanya makcik sesuatu’tanya seorang anak muda penuh harap.’Boleh,apa salahnya’spontan saya respon diatas permintaannya yang tiba tiba itu.Terasa pelik juga apa yang penting sehingga sehari sebelum itu dia telah membuat temujanji dengan saya.’Macamana makcik boleh jumpa dengan pakcik’Alamak soalan cepu emas?soalan bonus?dan memang diantara soalan yang paling sukar untuk dijawab.
Suami selalu berjenaka dengan anak anak apabila menceritakan detik detik peristiwa yang membawa kepada pernikahan kami.Beliau menceritakan dia sedang menggewang(casting) tetiba aje tersangkut pancing mama yang sedang menggewang jugak.Apa lagi berderai ketawa mereka…biar betul!!
Sambil menyusun kata kata saya menjawab dengan penuh hati hati.Kami dipertemukan oleh Allah disebabkan sebuah tafsir fi zilal Qur’an juz amma (karangan As syahid Sayyid Qutb)…dan… dan seterusnya..’Ooo macam tu’ulas anak muda ini..
‘ Apa sebenarnya akhie?Tanya saya kepadanya.’Sebenarnya makcik saya nak tahu pengalaman makcik,sekurang kurangnya bolehlah saya jadikan panduan’Jawabnya dengan agak malu malu.

Sememangnya pengalaman merupakan salah satu ‘barang berharga’ yang boleh diambil pengajaran,panduan,perkongsian dan sebagainya dengan orang lain.Ianya tidak boleh diambil mudah.Kalau kita membaca sirah(sejarah) Rasulullah SAW dengan para sahabat, banyak peristiwa yang amat berguna untuk kita jadikan panduan untuk meneruskan kehidupan yang bahagia.Bahagia dalam ertikata yang sebenarnya.Pernah Rasulullah berpesan kepada sahabat-sahabatnya dan tentunya kepada kita umatnya..seorang muslim itu tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali..Sejauh mana kita mengambil berat terhadap pesanan Rasulullah SAW ini?

Thursday, October 29, 2009


CETUSAN HATI SEORANG....

Setiap minggu saya berpeluang untuk bersama pelatih di RS(Raudhatus Sakinah-pusat pelindungan remaja puteri).RS ini telah ditubuhkan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia(JIM) yang prihatin terhadap gejala sosial yang hebat melanda muda mudi negara ini. Pelatih di RS terdiri daripada mereka yang terlibat dengan pergaulan bebas,arak,rempit,zina dan seribu satu macam kemaksiatan dan kefasadan yang telah mereka lakukan.Alhamdulillah ia sedikit sebanyak memberi saya semangat untuk terus tetap(istiqamah) dalam memperbaiki diri dan keluarga. Tidak cukup setakat itu,saya cuba berusaha belajar untuk bersama masyarakat dalam menangani gejala sosial yang semakin hari kian membarah .

'Hari ini kita akan membaca tafsir surah al ma'un,apa makna al ma'un itu,siapa yang nak jawap?...al ma'un itu pertolongan/pinjaman makcik..kata ann(bukan nama sebenar)..dan begitulah seterusnya pertanyaan dan perbincangan diantara saya dengan pelatih selalunya 'hangat' pada banyak kali pertemuan.Dalam surah al ma'un disebut sifat orang yang mendustakan agama.


  1. Orang yang mengherdik anak yatim

  2. Tidak menganjurkan memberi makan orang miskin

  3. Orang orang yang lalai dari solatnya

  4. Orang yang berbuat riya'

  5. Enggan menolong dengan barang yang berguna


Apa yang dimaksudkan dengan orang yang lalai dari solatnya?Makcik...makcik,orang ni tak kisah pasal solat kan??kata eiz(bukan nama sebenar) mohon kepastian...lagi...siapa nak jawab?Orang yang solat pada saat waktu nak habislah...kata seorang pelatih didepan eiz.

Makcik pernah mendengar cerita seseorang ada yang solat zohor,asar,maghrib dan isya' sekaligus,dengan kata lain dihimpunkan satu waktu untuk melangsaikan semua 'hutang2nya'.Alasannya nanti supervisor marah...tak capai target!Bulat mata mereka macam tak percaya.Aduhai..sedikit pengalaman saya bekerja dikilang memang agak kalut.Kita terpaksa lakukan sesuatu dengan pantas dan cekap.Kalau tak,banyak perkara kita tertinggal.Tapi apapun mungkin bergantung kepada budaya kilang,kedudukan kita dikilang dan sebagainya.Masing masing ada pengalaman tersendiri kan...

Saya meneruskan lagi perbincangan.... Siapa tahu apa itu riya'?Pelbagai respon dari mereka menggambarkan mereka mengikuti dan memahami apa yang disampaikan(walaupun tak semua).

Riya' salah satu penyakit hati yang digambarkan oleh ar Rasul SAW dalam sebuah hadits yang bermaksud

"Riya' itu lebih sukar dikesan dari semut hitam yang kecil di malam yang gelap pekat dicelah celah cemara rambut yang hitam"

Di sini juga saya sertakan beberapa coretan pelatih ini yang sudi berkongsi dengan saya.Saya sertakan untuk renungan kita bersama.

Coretan 1

"Kini aku berada di Raudhatus Sakinah tempat yang banyak membuka pintu hatiku untuk berubah..Sejarah hitam kini dapat ku hapuskan dari lubuk ingatan dan aku bertekad untuk tidak mengulangi lagi.Sejarah hitam itu akan aku jadikan pengalaman hidup dan pengajaran pada masa akan datang.Segala ilmu yang telah aku pelajari di Raudhatus Sakinah ini akan aku praktikkan apabila aku keluar nanti.Aku takkan sia siakan pengorbanan mak dengan abah yang telah menghantar aku ke sini untuk menjadi insan yang lebih matang dalam membuat keputusan.Serta tidak terpengaruh dengan budaya yang kurang elok.Terima kasih mak dan abah..."

Coretan 2

kesalahan....
yang tak dapat
aku ungkapkan
terhadap pencipta
keluarga
ibu,ayah...
tak dapat
aku tebus lagi
satu hari aku berjanji
di sini...
aku mengorak langkah
membawa bersama
harapan ibu dan ayah
menuju ke menara
harapan mereka...

Saya selalu berharap dan berdoa kepada Allah agar mereka mampu menjadi insan yang baik (solehah)pada suatu masa nanti..

Monday, October 26, 2009

Kekadang aku terpaksa "lari"....

Tanggungjawab dan rutin harian kadang kala sungguh memeningkan.Adakalanya kita rasa agak tertekan dengan kerja yang bertimbun yang tak pernah selesai.Dalam masa yang sama kita terpaksa menyelesaikan pelbagai masalah samada bersangkut paut dengan diri sendiri,rakan taulan,keluarga,kerjaya dan sebagainya.Mungkin kita boleh keluar dari keadaan ini buat sementara waktu.Tarik nafas panjang dan cari sesuatu akitiviti yang boleh mengurangkan stress.

Saya sempat 'melarikan diri' baru baru ini.Berbekalkan persiapan yang ala kadar walaupun cuaca tidak menentu saya ditemani tentunya orang tersayang untuk menyusuri sungai Mawai.Sudah beberapa purnama tidak ke sana.Air seperti teh tarik tapi hati berbisik,tak apa janji dapat balingkan pancing yang dah lama merajuk!!

Pada mulanya cuaca agak cerah.Kami terus memecut ke hulu sungai untuk menjejaki lubuk jongkong(udang galah).Memang betullah mereka memang mogok lapar kot.selama 4 jam melabuhkan pancing tidak ada yang sudi merisik apa lagi menjamah menu hari itu.Langit tetiba mendung tanda hari akan hujan.Kami sangat jauh dari pangkalan.Nak balik memang akan merempuh hujan di hilir sungai.Terpaksa berteduh dibawah mengkuang sungai.Petir dan kilat sabung meyabung.Hujan mula turun dengan lebat sekali.Tapi syukur tiada apa yang tidak diingini berlaku.Lebih daripada setengah jam kami disirami air hujan.Memang sejuk tidak terkira..apabila hujan telah reda kami memecut laju kembali ke pangkalan.Memang nak cepat sampai .Dipertengahan jalan kami ditahan oleh...bukan polis lah...oleh 3 orang apek.Mereka baru sahaja nak memasang tajo(sejenis pancing-tali diikat pada joran,tali pendek,umpan betul betul dibawah sedikit permukaan air-untuk mendapatkan ikan toman,tapah dan sebagainya.Kadang kala umpan yang dipasang menjadi habuan labi labi).Enjin mereka rosak.Minta kami tunda bot mereka.Bukan kat jalan raya saja ada penunda tau!!!

Suami bersembang dengan mereka.Sekali sekala saya menyampuk jugak.Eh...macamana nak cakap dengan apek ni pasal islam ek?Tu lah selalu cari idea tapi susah jugak nak keluar kat mulut.Dalam diam saya pujuk diri,tak semesti cakap tunjukkan akhlaq yang baik.Biasa lah tu untuk cover! Tapi saya tak lupa berdoa agar Allah tambahkan petunjuk kepada kami dan beri petunjuk kepada mereka.Perjalanan setengah jam menjadi satu jam.Memang lenguh pinggang sebab lama sangat duduk tak seimbang.

Sampai ke pangkalan, mereka mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kami.Selepas meninggalkan mereka di pangkalan mereka, kami meneruskan perjalanan beberapa meter sahaja dari pangkalan mereka untuk ke pangkalan kami.'Memang rezeki kita kot' kata suami.Walaupun kita cuma mendapat 3 ekor udang tapi Allah memberi kita rezeki dengan tidak disangka sangka..menolong sesama insan'.

Saya memang selalu tak bersetuju apabila orang berkata:hari ini kita tolong orang,hari lain orang tolong kita pulak..bukan apa kita buat sesuatu tu kerana Allah dan tidak lainnya.Jadi apa yang kita buat tidak mengharapkan balasan...

Berbicara dengan alam sesuatu yang menyeronokkan.Semasa menyusuri sungai kelihatan nun jauh di sana bunga bungaan liar melatari pemandangan.Udara segar berhembus lembut. kadang kala membawa bersama haruman bunga bungaan tersebut.Fikiran menjadi tenang.Lebih lebih lagi kita menyedari hakikat kejadian.Betapa kerdilnya kita dan betapa agungnya sang Pencipta.



'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda tanda bagi orang yang berakal' ali 'imran:190

Thursday, October 22, 2009

Puncak Arabella






Di Puncak Arabella

Teriknya mentari memancar pada hari itu cukup membuatkan kepalaku berdenyut kesakitan.Keadaan itu ditambah lagi pengurusan pendaftaran yang agak lembab dikolej.Sehingga jam 5 petang baru selesai pendaftaran yang bermula seawal pukul 2 petang.Badan terasa sangat penat.Tidak mungkin boleh balik ke Johor Bahru yang jaraknya melebihi 500km!
Bagaimana kalau kita berehat di puncak Arabella?Tanya suami..(Fulamak! cayalah..persantaian yang tidak dirancang).Biar betul bang,ada apartment kosong lagi tak?tanya ku penuh minat..nanti abang call sri intan ya…aduhai mudah mudahan adalah yang masih kosong.Lagipun bukan cuti sekolah..detik hatiku.Ook kita ke Arabella..kata suami sejurus menamatkan perbualan/percakapan di dalam telefon.Telefon angah dulu beritahu kita tidak dapat balik terus ke jb..kata suami.


Aku memang menyukai suasana di puncak Arabella.Puncak Arabella dikelilingi oleh banjaran gunung lain disekililngnya.Nun kelihatan rumah di kawasan lembah dan di celah celah bukit sayup mata memandang.Permandangan yang dihiasi paku pakis gajah disamping pokok pine mewarnai pagi yang hening itu.Mataku terpaku kepada sebuah rumah di antara 2 bukit yang menghijau.Biasanya antara kedua bukit ada anak sungai yang jernih mengalir.kelihatan anak-anak ikan berenang dengan riangnya..Fikiranku menerawang.Teringat semasa kecil dahulu aku sering menyanyi lagu…tepi gunung
Air terjun,
Tempat orang bermain..
Tempat tinggal tukang kebun..
Dan anaknya Rohani..
Sungguh cantik…..
Lembah yang terpencil sering di diami oleh tukang kebun dan petani yang mengusahakan tanah secara tradisional.Tapi berhampiran dengan puncak Arabella tentunya rumah yang memaku perhatianku buat seketika di cerun yang mendamaikan itu bukan tukang kebun yang punya apatah lagi petani yang kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.Jutawan manalah agaknya ?hatiku berkata-kata sendirian.


Angin yang sejuk dan cuaca yang redup cukup mendamaikan hati.Tidak seperti sehari sebelumnya. Aku sengaja membuka tingkap seluas-luasnya membiarkan angin sejuk menerobos masuk ke dalam apartment..Ahh terasa sejuk pula,tapi biarlah aku cukup damai dengan suasana begini.Ya tidak akan aku lepaskan peluang menikmati kehebatan ciptaan Illahi Di Puncak Arabella.
Seketika aku melayari laman web untuk mengetahui berita semasa.Mencari berita tentang pergolakan di Perak hinggalah isu-isu semasa yang lainnya.Aah betul betul menganggu kedamaian di hati..Baik off jer.


Jom kita sarapan,perut dah berkeroncong ni !kata suami..laa dah lama mama tunggu..abang lama sangat bersiap..adik cepat siap,kita makan dan jalan-jalan dulu.kemudian dah puas jalan-jalan kita baru berkemas.,kataku kepada sibongsu kami.
Selepas sarapan ala kadar kami mendaki naik ke Brincang iaitu penempatan yang tertinggi yang boleh dijejaki dengan kereta.Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini.Anda boleh menginap di hotel yang agak ekslusif seperti hotel equatorial dan boleh membeli pelbagai hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.Tidak terkecuali terdapat bunga-bungaan yang segar mahupun yang kering yang mewarnai gerai-gerai yang berderetan di kiri kanan jalan.Apatah lagi anda berpeluang memetik sendiri strawberi yang masam-masam manis tu !


Oleh kerana persinggahan kali ini bukannya cuti persekolahan,keadaan agak lengang.Kami bertiga dan ada beberapa orang saja yang berada di sekitar gerai berkenaan.Boleh dikatakan ramai penjual daripada pembeli.Kita boleh membeli dengan tenang tanpa ada gangguan seperti bersesak-sesak dengan pelancung lain ataupun lori-lori hantu yang ‘berkeliaran’(tidak henti-henti) mengangkut barang jualan.
Ada sesuatu yang cukup menarik ingin saya berkongsi dengan anda…anda mungkin tergoda dengan kepetahan pekerja indonesia yang meraih simpati membeli barang-barang jualan di gerai mereka.Mereka penuh yakin mempromosikan barangan mereka dengan pelbagai teknik yang digunakan.Kadang kala kualiti barang-barang jualan mereka boleh dipersoalkan.Ooo itulah kemahiran yang tidak ada padaku…terdetik disudut hatiku yang cukup dalam.Kenapa aku jadi begini ?Walhal barang yang aku hendak promosi kepada pembeli jauh lebih berkualiti daripada apa yang mereka jual…aku bermonolog lagi.Islam…oh betapa cuainya aku.Engkau cukup berharga dan sangat didambakan insan.Tapi aku tidak bersedia berkongsi dengan sesepet berkulit kuning langsat atau si rambut perang bermata biru atau juga sihitam manis rambut ikal mayang !Sedih menerpa dihati.Aku dan suami sering berbual mengenai perkara ini.Apa yang hendak kita beri alasan kiranya kita dituntut oleh jiran,rakan dan kenalan yang tidak tahu apa itu islam dihadapan Rabul Jalil di akhirat nanti !perkara ini sering menghantui fikiran.Mahu tidak mahu aku perlu menambahkan kemahiran.Aku mesti belajar teknik bercakap yang mampu memikat pendengar seperti kepetahan pekerja indonesia mempromosi barangan mereka atau sepatutnya lebih baik lagi..Bagaimana caranya ya ?


Kami tinggalkan Brincang kembali semula ke puncak Arabella..Berkemas dan check out untuk meneruskan perjalanan.Agak terasa sedikit bahang mentari diwaktu tengahari walaupun beberapa tahun dulu keadaan ini tidak berlaku…oo dulu masih banyak pokok-pokok pine berhampiran dengan pusat pentadbiran dan pekan kecil tanah rata,Cameron Highlands ,sekarang tidak lagi..bangunan baru sedang rancak didirikan..mungkin suatu masa nanti kesejukan pergunungan Cameron Highlands hanya tinggal sejarah…
selamat tinggal puncak Arabella,ada ‘jodoh’ kita bertemu lagi..

Cinta dan perkahwinan




Bismillahirrahmanirrahim

‘Ala bang ni…malulah,tak payah pegang-pegang tangan,kita dah tua…’kata Limah kepada Johar suaminya..

‘Tak gi SPA ke?..kita kena jaga badan tauu..apa tu aromatherapy..! Tanya kak Leha kepada Diana jiran sebelah rumahnya.

‘Kami rasa semakin mengenali antara satu sama lain .Anak-anak dah besar,kami baru perasan selama ini kami sibuk dengan kerenah mereka,kurang memikirkan kemesraan kami’ kata Joe kepada kawannya..

Kehangatan cinta..kehangatan cinta akan menjadi semakin dingin dengan bertambahnya usia perkahwinan..betul ke?mungkin ada benarnya.Ianya sering diperkatakan sejajar dengan usia sesuatu perkahwinan.Lebih memeranjatkan berlaku perceraian bukan sedikit dikalangan warga emas,apa tah lagi pasangan muda.Adakah ini petanda bahawa betapa rapuhnya institusi keluarga Islam di Malaysia.?

Beberapa faktor yang tidak sedikit menyumbang kepada keruntuhan rumahtangga.Antaranya
1.Asas agama yang kurang mantap(tidak mengetahui/mengabaikan tanggungjawab suami isteri)
2.Kedudukan ekonomi sesebuah keluarga
3.Dasar asal perkahwinan-adakah diatas dasar cinta semata-mata

Tulisan ini bukanlah untuk menghuraikan satu persatu permasalahan yang menjurus kepada perceraian.Ianya ingin mengetengahkan beberapa panduan bagaimana untuk memupuk/menjadikan cinta pasangan suami isteri sentiasa hangat.
Ianya boleh kita amalkan bila bila masa saja bukan semestinya menunggu ulangtahun perkahwinan atau ulangtahun kelahiran dan sebagainya.Diantaranya ialah

1.Fahami kehendak pasangan
2.Komunikasi berkesan
3.Meraikan minat/hobi pasangan walaupun tidak sama dengan kita
4.Saling bantu membantu dan berkerjasama dalam apa jua keadaan.
5.Mengambil langkah segera apabila berlakunya salah faham iaitu tidak membiarkan
salah satu pihak tidak berpuas hati dengan pasangan masing-masing berlarutan

Hakikatnya sebagai seorang muslim kita tidak ’kering’ dari panduan yang sentiasa segar dan praktikal.Panduan yang berada didepan kita yang telah kita warisi lebih dari 1400 tahun merupakan penawar yang begitu ampuh untuk menghadapi apa jua keadaan iaitu Al Qur’an.Apatah lagi ditokok pandu oleh sunnah ar rasul SAW.

’Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan kepadamu isteri-isteri dari jenismu sendiri,supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya,dan dijadikanNya diantaramu kasih dan sayang.Sesungguhnya pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir’
AR-Rumm:21

’Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik kepada isterinya,dan aku adalah yang teramat baik sekali kepada isteriku’
Hadith riwayat Ibnu Majah & Al Hakim

Pelbagai situasi dan cara bagaimana pasangan suami isteri itu disatukan dalam ikatan perkahwinan.Ada yang dipilih oleh orang tua.Ada yang melalui orang tengah dan tak kurang juga cinta pandang pertama.Apapun punca terbentuknya ikatan suci ini merupakan nostalgia kehidupan pasangan tersebut.Namun apa-apa yang menatijahkan tergugatnya ikatan suci ini perlulah dihindari.

Cuba kita kenangkan mula-mula perkenalan kita terhadap pasangan.Tentu ada peristiwa yang paling manis pernah kita alami.Alangkah indahnya kalau kita mampu menyuburkan kasih sayang dengan mengulang-ulangi keindahan,kebaikan,pengorbanan dan seribu satu macam peristiwa yang boleh mengukuhkan ikatan perkahwinan tersebut.Apatah lagi kiranya peristiwa itu lebih menyakinkan pasangan masing-masing bahawa perkahwinan yang dibina bersama adalah suatu pilihan yang sangat tepat.

’Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah(isteri)’

Hadith riwayat Muslim

’Mahukah kamu,aku memberitahukan dari hal sebaik-baik barang yang disimpan oleh seorang lelaki?Iaitu isteri yang soleh,jika suami melihat kepadanya,dia menggembirakan,jika suami menyuruhnya sesuatu dia taat.Jika suami tiada di rumah,dia menjaga harta suami itu dan memelihara pula dirinya sendiri’

Hadith riwayat Ibnu Majah

Memang tidak dinafikan hidup di dunia ini penuh ujian.Setiap individu samada telah berkahwin atau belum akan diuji.Ujian akan datang silih berganti samada disedari atau tidak.Ianya berbentuk fizikal mahupun spiritual.Tepat sekali Al Qur’an mengungkapkan hakikat kehidupan akan diuji.

’Maha suci Allah yang ditanganNyalah kerajaan,dan Dia maha kuasa atas segala sesuatu.Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia MENGUJI kamu siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya’
Al Mulk:1-2



Kadang kala oleh kerana sudah lama hidup bersama,bahasa pertuturan pasangan,persediaan makan minum,kesihatan,penampilan diri dan sebagainya turut berubah dengan berlalunya masa.

Mungkin diawal perkahwinan bahasa-bahasa romantik seperti sayang,darling,buahati dan sebagainya sering digunakan.Apabila anak-anak sudah membesar atau ada yang sudah mula menjejaki kaki ke IPT bahasa-bahasa seperti ayah oi,mak oi,orang tua ni! sering kedengaran.Mungkin itu sebahagian kecil saja berlaku.Namun yang kecil itu perlu dibendung agar bara tidak menjadi api yang menjulang.
Begitu juga dalam hal makan minum,kadang-kala kedua-dua pasangan suami isteri berkerja dan balik ke rumah selepas kerja memerlukan masa untuk berehat.Namun mungkin salah seorang pasangan kurang sensitif menyebabkan perkara persediaan makan minum menjadi pertikaian hingga menyebabkan mahligai yang dibina sekian lama mula kelihatan retaknya.Sekiranya setiap pasangan memahami dan sering bertolak ansur hidup yang dilalui akan menjadi lebih tenang dan tenteram,dengan lain perkataan setiap perkara memerlukan pertimbangan / penilaian secara objektif dan seimbang bukan dimainkan oleh emosi.Tidak timbul siapa yang paling berkuasa,ada kuasa veto dan sebagainya.Begitu juga tidak timbul siapa yang paling banyak dibebani dengan kerja-kerja memguruskan rumahtangga yang tidak pernah selesai!

Tidak dinafikan setiap kita tidak mampu memenuhi atau memuaskan kehendak pasangan seratus peratus.Mari kita sama-sama renungi dan hayati beberapa penawar yang sangat mujarab yang kita semua yakini dan imani.

’Dan bergaullah dengan mereka(isteri-isteri) itu dengan baik dan jika kamu tidak menyukai mereka,(maka bersabarlah) kerana mungkin apa yang kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak’
An-Nisa’:19

’Sesempurna-sempurna iman orang-orang mukminin ialah yang paling baik kelakuannya dan yang paling lembut terhadap isterinya’
Hadith riwayat Bukhari & Muslim

Semoga kita semua berbahagia dalam melayari bahtera kehidupan.Selalu siramilah pohon perkahwinan dengan baja keimanan,cinta kasih,bertolak ansur dan sebagainya agar ianya terus utuh insya Allah walaupun ’hurrican’ yang datang melanda.