Wednesday, November 18, 2009

Bersediakah kita...



Bersediakah kita...

Semalam saya menerima sms dari angah anak saya yang ke dua.Pecutan terakhir untuk menghadapi peperiksaan SPM pada hari ini.

'Salam ma,first of all angah nak minta maaf andai pernah melukai hati ma atau membuat ma menangis sebab ragam angah dan tak lupa buat abah...ngah juga mohon ma halalkan susu yang ma berikan ketika angah kecil dan mohon ma dan abah halalkan segala benda yang angah ambil..doakan angah..jangan nangis ya '

Untuk membuat persediaan yang lebih baik angah telah memohon untuk tinggal di asrama sepanjang peperiksaan.

Pagi tadi suasana tempat anak saya bersekolah cukup sibuk dan meriah.Kelihatan deretan kereta memasuki perkarangan sekolah.Kehadiran ibubapa untuk memberi semangat dan sokongan moral kepada anak masing masing.Tentunya doa buat si anak tidak pernah lupa dari diungkap,dibisik dan dipanjatkan kepada Allah SWT.Apatah lagi diwaktu dinihari yang cukup mendamaikan.

Persediaan untuk anak anak menghadapi peperiksaan tentunya memakan masa yang cukup lama.Ianya boleh dikira hitungan tahun.Malah persediaan untuk menjamin kecemerlangan akademik ini diusahakan sejak kecil lagi.Ada di kalangan ibubapa yang menghantar anak mereka ke pusat tuisyen se awal 5 atau 6 tahun usia si anak..Itu merupakan sebahagian dari pengorbanan ibubapa terhadap anak anak.Sesungguhnya pengorbanan ke dua ibubapa tidak mampu untuk di balas.

Ada kalanya saya mengambil kesempatan bersembang dengan anak anak sewaktu mengambil mereka dari sekolah.Pelbagai topik disembangkan seperti mengenai pelajaran mereka,apa yang menyeronokkan dan tidak menyeronokkan di sekolah.Sesekali mengajak mereka memikirkan apa yang hendak dicapai dalam hidup.Saya selalu berkata kepada mereka,mama dan baba tidak mengharapkan wang ringgit daripada anak anak.Tetapi mama dan baba sangat mengharapkan agar anak anak sentiasa berada di atas landasan iman dan kebenaran.Itu sudah cukup menggembirakan hati kami berdua.


Ungkapan Khalifah Umar Abd Aziz kepada anak anaknya menjadi gula gula percakapan saya dengan anak anak.Khalifah Umar memanggil anak anaknya semasa hampir menghadapi sakaratul maut.Beliau berpesan kepada anak anaknya bahawa dia tidak meninggalkan harta kerana di atas 2 sebab.Kiranya anak anaknya merupakan anak yang soleh dan bertaqwa ,Allah adalah penjaminnya.Tetapi kiranya dia meninggalkan harta,anak anaknya pula merupakan manusia yang engkar kepada Allah SWT, maka dia tidak redha harta yang ditinggalkan dibelanjakan ke jalan kemungkaran dan kemaksiatan.Sejarah telah membuktikan anak anak Khalifah Umar Abd Aziz telah menginfaqkan sejumlah besar kuda perang di jalan Allah SWT.


Sultan Murad (ayahanda sultan Muhammad Al Fateh) telah membuat persediaan yang cukup lama untuk membebaskan kota constatinopel.Bermula dari dirinya ingin membebaskan kota itu dari cengkaman kristian hinggalah Allah menganugerahkan kepadanya putera yang diberi nama Muhammad.Baginda cuba mempastikan bukan sahaja puteranya mendapat pendidikan agama dari ulama' terbilang malah membekalkan kemahiran kemahiran lain. Tentunya hadith Ar Rasul s.a.w menjadi sandaran yang cukup ampuh untuk diiktiraf sebagai pemimpin yang baik dan memimpin tentera yang baik pula.Ternyata Sultan Muhammad Al Fateh telah memenuhi ciri ciri yang telah disabdakan baginda Ar Rasul lebih 700 tahun sebelum itu.


Selagi kita hidup, kita sememangnya perlu membuat banyak persediaan.Persediaan untuk mendirikan rumahtangga,persediaan menyambut kelahiran anak,persediaan untuk anak anak menghadapi peperiksaan,persediaan menerima menantu,persedian..persediaa....persediaan dan kemuncak kepada pesediaan...bagaimana persediaan kita menghadapi maut.

'Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang diantara kamu:lalu ia berkata"Ya Tuhanku,mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat,yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang yang soleh".Dan Allah tidak menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya.Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan'
Al Munaafiqun:10-11
Pak HAMKA pernah berkata:'kehidupan bermula setelah tarikan nafas terakhir berhenti'
Bersediakah aku???
Ya Allah,ampunilah diri ini.

No comments:

Post a Comment