Tuesday, December 29, 2009

Ketampanan Sosial dan Keanggunan Sosial




‘Apa agaknya juruhebah IKIM nak cakap hari ni ya?’terdetik dihati kecil saya.Punat radio saja saya tekan untuk mendengar apa yang dibicarakan.Sekurang kurangnya boleh berkongsi bersama pelatih pelatih di RS.Begitu setiap kali saya ke RS.
Baru pertama kali saya mendengar penggunaan perkataan ketampanan sosial dan keanggunan sosial.Biasanya ketampanan merujuk kepada lelaki dan anggun tentunya kepada wanita…
Apabila mendengar perbincangan juru hebah dan penceramah jemputan itu…ooo bukan sesuatu yang baru.Cuma penggunaan bahasa yang agaknya sesuai ketika ini…teringat kata kata ‘yang indah itu bahasa ..yang baik itu budi’.Memang tidak dinafikan bahasa melayu mampu mengungkapkan kata kata yang cukup mendalam untuk menyampaikan sesuatu maksud.

Dalam kita berbicara dengan manusia adakalanya kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan.Kadang kala kita merasakan kata kata yang kita gunakan sudah cukup ‘manis’ untuk diungkap.Tetapi diluar jangkaan kita,kita tersilap perhitungan.Al Qur’an telah menegur sikap manusia yang telah menyakitkan Nabi seperti di dalam surah al Hujurat.Ada seorang sahabat Ar Rasul yang menangis berterusan apabila ayat ini diturunkan.Dia merasakan bahawa ayat ini telah menegur sikapnya.Sehingga Nabi menyatakan ayat ini bukan ditujukan kepada sahabat berkenaan…Nah begitu sensitifnya sahabat kepada perkara yang seperti ini.

‘Hai orang yang beriman,janganlah kamu meninggikan suaramu lebih daripada suara nabi dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya(suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain,supaya tidak hapus(pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari’
Al Hujurat:2

Begitu juga dalam kita mengajak manusia kepada kebaikan,memberi pendapat dan dalam berhujah.Ianya bukan sesuatu yang mudah.Kita sebenarnya tidak kering dari petunjuk Illahi.Pernah seorang rakan berpesan pada saya ‘A,kalau kita memberi pendapat,berhati hati…kalau pendapat kita diterima beristighfarlah,kalau pendapat kita ditolak ucaplah alhamdulillah’.Begitu pesannya dalam suatu pertemuan.Ianya saya sematkan di hati dengan cukup kemas…Cuba mempraktikkan…Opps kekadang terlajak juga!!

‘Serulah ke jalan Tuhanmu(wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.Dan berbahaslah dengan mereka(yang engkau seru) dengan cara yang lebih baik…..’

Sesungguhnya setiap masa kita belajar dan terus belajar.Belajar bukan sahaja di bilik bilik darjah,bilik kuliah atau dalam bilik seminar sahaja.Tetapi lebih jauh dari itu kita belajar melalui pengalaman.Tidak dinafikan pengalaman merupakan GURU yang cukup berpengaruh dan berwibawa kepada seorang insan.

Thursday, December 24, 2009

Antara Banyak Kejayaan


Pagi tadi sempat menemani anak saya yang bongsu mengambil keputusan peperiksaan PMR di sekolah.Suasana pagi yang hujan memanjang agak menyejukkan suasana.Namun di dewan untuk pengumuman keputusan agak meriah dan 'panas'.Kelihatan rasa suspens anak anak tergambar pada raut wajah mereka.Anak anak yang mendapat keputusan 9A akan diumumkan. Slip keputusan mereka diserahkan sendiri oleh Pengetua Sekolah.

'Adik,ma dan abah ok je,adik dah buat yang terbaik kan..terima saja keputusan ya'kata saya kepada sibongsu di sebelah.Memang nampak dia begitu suspens.'Atin dapat berapa ma dan keseluruhan 9A berapa?'si angah bertanya lewat sms.'Batch angah lagi banyak dapat 9A'jawab saya ringkas.'Ngapa sikit'tanyanya lagi.'Sikit banyak bukan yang utama,yang penting taqwa'Saja meletakkan ukuran piawai kepada si angah.

Sebenarnya kejayaan yang diperolehi di dunia ini diantara kejayaan yang Allah rasakan kepada hambaNya.Tidak mengira samada hambanya yang beriman atau sebaliknya.Perasaan suspens ibu bapa dan si anak pagi tadi adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan ketika kita berada di padang Mahsyar nanti.. Adakah kita golongan yang berjaya?


Pada suatu ketika Nabi SAW berbaring di riba Aisyah rha.Aisyah menangis dan titisan airmatanya jatuh ke atas nabi.Nabi terjaga dan bertanya kenapa Aisyah menangis...Aisyah menjawab beliau teringatkan hari akhirat.Di dunia dia dapat bermanja dan bersama dengan nabi tetapi di akhirat belum tentu nasibnya..Adakah dia dapat bersama nabi sebagaimana dia di dunia.Nabi berkata beliau tidak akan melupakan Aisyah tetapi ada 3 tempat yang sangat mencemaskan yang mungkin ketika itu terlupa.Pertamanya ketika hendak menerima suratan amal.Ke dua ketika timbangan amal dan ke tiga ketika titian sirat..

Saya selalu berbicara dengan anak anak agar berusaha menjadi salah satu dari 7 golongan...7 golongan yang dijanjikan berada di bawah naungan Allah SWT di hari yang tiada naungan kecuali naunganNya sahaja.Berpesan kepada diri yang sering alpa sebenarnya.

Hati mengharap,jiwa tersentuh dan tiba tiba pandangan kabur kerana air diempangan telah melimpah apabila terbayang itu semua.Apatah lagi ketika kita diperingatkan dengan ayat ayat Al Qur'an contohnya di dalam surah al Waqi'ah.


'...dan kamu menjadi 3 golongan,iaitu golongan kanan,alangkah mulianya golongan kanan itu..dan golongan kiri,alangkah sengsaranya golongan kiri itu..


Al Waqi'ah:7-9

Selanjutnya..

'Mereka itulah orang yang dekat-kepada Allah(muqaraabuun),segolongan besar dari orang orang terdahulu.Dan segolongan kecil dari orang orang kemudian..dan golongan kanan.Alangkah mulianya golongan kanan...Untuk golongan kanan.segolongan besar dari orang orang terdahulu.,dan segolongan besar dari orang orang kemudian.Golongan kiri.Alangkah sengsaranya golongan kiri'


Al Waqi'ah:11,13,14,27,38-40


Wahai Tuhan kami,kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.Dan jauhkan kami dari api nerakaMU...amin Ya Rabbal a'lamin

Wednesday, December 23, 2009

Saf kita bagaimana kiranya...




Peristiwa 1


Saya berkesempatan solat maghrib di sebuah surau dalam perjalanan ke kampong.Oleh kerana waktu maghrib, maka ada beberapa orang sahaja yang kelihatan di surau berkenaan.Manakala di dalam ruang muslimat cuma saya dengan seorang makcik yang agak berumur.Saya bersama makcik bahu membahu dalam solat berkenaan.Pada rakaat pertama kami masih rapat,tetapi pada rakaat kedua makcik berkenaan ‘berjalan’ agak jauh dari saya.Tinggallah saya seorang.Kemudian saya cuba merapatkan diri dengan makcik tu .Pada rakaat ke tiga makcik itu menjarakkan lagi,saya tidak ikut makcik itu kerana di kiri saya ada seorang muslimat merapatkan diri dengan saya.Saya tidak faham kenapa makcik itu berbuat demikian.

Peristiwa 2


Solat terawih sangat dinantikan oleh kita umat Islam samada besar,kecil,tua dan muda.Kebanyakan masjid akan menambahkan ruang yang lebih besar kepada muslimat.Kebiasaannya saf pertama sahaja tiada lubang lubang tetapi saf berikutnya berlubang di sana sini.Keadaan ini cukup mendukacitakan.Ianya menjadi kehairanan sayakerana sebelum bersolat imam selalu mengingatkan kepada makmum supaya merapat dan meluruskan saf. Berbeza dengan saf lelaki,mereka jarang bermasalah dalam hal ini
Begitu juga kadang kala masjid dan surau menganjurkan ceramah sempena hari kebesaran islam.Biasanya selepas isya’.Fenomena yang sama berlaku ketika solat maghrib dan solat isya’.

Sebenarnya banyak lagi peristiwa seumpama ini berlaku di merata tempat.Terfikir juga bagaimana untuk mengatasi masalah seperti ini.Pada suatu ketikayang lain saya singgah di sebuah surau yang comel dan bersih.Maka saya terbaca hadith yang tertampal di tempat dewan sembahyang surau tersebut.

1.Menutup ruang/celahan antara saf

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:’Tegakkan saf saf dan sejajarkan bahu bahu kalian.Tutupkan celah celah dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan tangan saudara kalian.Jangan biarkan celah celah dimasukki syaitan.Barangsiapa menyambung saf,maka Allah menyambungnya.Barangsiapa yang memutuskan saf maka Allah memutuskannya.’
(Hadith riwayat Abu Daud no 666,An Nasa’i 2/93,Ahmad 2/97,juga dinilai sohih oleh Al Albani di dalam sohih Abu Daud 1/97)Di dalam riwayat yang lain,Rasulullah SAW bersabda:Demi jiwaku yang ada ditanganNya,aku melihat syaitan masuk dicelah celah saf sebagaimana masuknya anak kambing(Hadith riwayat Abu Daud no 667,dinilai sohih oleh Al Albani di dalam sohih sunan Abu Daud 1/198)

2.Meletak posisi badan dalam keadaan yang baik

Dari Nu’man bin Basyir bahawa beliau berkata’Dahulu Rasulullah meluruskan sehingga sampai seperti meluruskan anak panah sehingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau praktikkan kepada kami( sehingga saf kami telah rapi),kemudian suatu hari,beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri hingga ketika beliau akan bertakbir,beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan,maka beliau bersabda ‘Wahai para hamba Allah hendaklah kalian benar benar meluruskan saf atau Allah memperselisihkan wajah wajah kalian’ (Riwayat Muslim no 436)

Ada di kalangan mereka apabila kita mengajak untuk berdiri rapat rapat,pelbagai alasan mereka beri.Panaslah,tak selesalah dan sebagainya.Ada ketikanya memang sukar untuk menegur atau meminta kerjasama dalam soal ini.Kalau seseorang itu tidak bersetuju dengan kita bahu membahu, maka mungkin kita akan keseorangan seperti perisriwa 1.Fikir fikirkanlah…

Saturday, December 19, 2009

Kembara Cinta 3



Kembara Cinta 3

Pendakian dikegelapan malam melalui hutan belantara agak mencuakkan.Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.Kadang kala terlintas dikepala bagaimana kalau kereta meragam,bagaimana terjumpa kereta rosak.Mereka atau si dia cuba menahan kereta kita untuk minta bantuan.Aduh..serba salah dibuatnya.
’Baca mathurat nak’kata saya kepada sibongsu.Deruman kereta memecah kesunyian malam.Suami di sebelah memandu dengan kelajuan yang sederhana.Oleh kerena hampir tiada kenderaan, kami sampai ke kampong Raja dalam waktu yang singkat.
Kebiasaannya perjalanan malam sering ditemani bintang bintang dilangit .Namun bermula dari kampong Raja kami mula ditemani kerlipan ‘bintang’ di bumi..




’Kerlipan bintang di bumi’


Saya sempat merakam panorama ini disepanjang perjalanan ke Tanah Rata Cameron Highlands.Rupa rupanya bukan sahaja kita memerlukan lampu diwaktu malam tetapi sayur sayuran dan bunga bungaan di tanah tinggi ini .Begitulah agaknya yang terbaik.Mungkin R&D yang dibuat memberi jawapan sedemikian rupa..Bagus juga kalau mengetahuinya ya...

’Kita nak sarapan kat mana ni?..tanya suami.Selalu dia memberi kami pilihan untuk mengisi perut yang mula berkeroncong.’Kita makan kat kedai atas la.Suasananya lebih tenang’kata saya merujuk kepada kedai yang menjual juadah sarapan pagi dan cenderamata.’Adik suka,luas pandangan’sampuk sibongsu.’Luas pandangan atau ada apa apa ni?saja saya mengusik sibongsu.
Pagi itu cuaca cerah.Suami sempat merakam suasana pagi yang cukup mendamaikan.





Suasana pagi di Tanah Rata





Suasana malam yang cukup mengasyikkan


‘Apabila rindu renunglah bulan’begitu nada bercinta orang dulu dulu.Benarkah terubat rindu?...
Di dalam surah Al Mulk,Allah SWT mengajak hambaNya merenung penciptaan langit

‘....Yang telah menciptakan langit berlapis lapis.Kamu sekali kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.Maka lihatlah berulang ulang,adakah kamu melihat sesuatu yang tidak seimbang?Kemudian pandanglah sekali lagi niscaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah’

Al Mulk:3-4

Kalau resah renunglah langit,kalau kecewa renunglah langit,kalau berhiba renunglah langit dan kalau..kalau..kalau.. renunglah langit.Sesungguhnya kita akan mendapatkan manafaat yang cukup banyak..!

Monday, December 14, 2009

Kembara Cinta 2


Semasa program, anak anak saya dapat bertemu rakan rakan lamanya.Mereka juga berke sempatan melawat tempat tempat yang menarik.Antaranya Galeri Sultan Azlan Shah,Masjid Ubudiah,Bukit Chandan .Mereka juga terjumpa pokok getah yang berusia lebih seratus tahun.





Pemuda Harapan Bangsa…






Pintu masuk Galeri Sultan Azlan Shah







Masjid Ubudiah Bukit Candan







Pokok getah berusia lebih 100 tahun.




’Mama,pokok getah besarnya,tengok gambar abang ni,tak sampai tangan abang’kata sibongsu.Ha ah pokok getah ni banyak kegunaannya..getahnya sudah tentu antara yang berharga.Daunnya pula boleh membungkus tapai, boleh juga dibuat kelopak bunga.
Pokok?Pokok buat titilah...’Kecil kecil dulu mama selalu kutip kulat(cendawan) sisir pada batangnya yang telah mati..sedapp nak,buat masak lemak cili api’cerita saya kepada anak anak pada suatu ketika.Teknologi sekarang membolehkan pokok getah dibuat perabut .Buahnya?...buahnya pula boleh dibuat peluru lastik...atau batu seremban.Ada yang paling ’pelik’...buat asam rom...’rom tu apa mama’ tanya si anak masa mereka kecil kecil dulu.Rom(buah getah yang telah diproses) sedap dibuat gulai.Gulai rom ini terkenal di daerah Jerantut Pahang.Boleh dikatakan ianya merupakan hidangan istimewa apabila dimasak bersama ikan sungai.Ikan yang paling sedap dibuat gulai ini ialah ikan kenerak,ikan toman dan ikan patin.’tak masuk akal!’kata suami beberapa tahun dahulu.Kalau berpeluang ke Taman Negara Kuala Tahan cubalah rasa ya!Tentu ada kelainan..

Apabila ku renung,ku fikir..hanya sepokok getah...begitu banyak manafaatnya..Apatah lagi apabila kita berinteraksi dengan alam yang terbentang luas...Allah telah menghamparkan bumi.Apa sahaja yang berada di atas mahupun yang berada di dalamnya adalah untuk kelangsungan hidup manusia.Ooh betapa banyaknya ni’mat yang tidak terhitung!

’Maka nikmat yang mana satukah yang kamu dustakan?’

Surah Ar Rahman

’Tuhanku semoga aku tergolong dalam golongan yang ’sedikit’...begitu ungkapan sahabat AR Rasul kepada Rabbnya.

Wednesday, December 9, 2009

Ku renungi HIDUP ini




Genap sebulan saya tidak melangkah ke RS.Semalam berkesempatan untuk meneruskan sesi perbelajaran dengan pelatih di sini.Tentunya banyak perkara yang hendak dikongsi...getus hati kecil saya.Terbayang diruang mata wajah wajah yang dipamerkan pelatih apabila menyambut kedatangan saya.Ceria,muram,bersahaja dan 'seribu wajah' yang sukar ditafsirkan.Namun ianya cukup membahagiakan insan seperti saya.Saya menyedari mereka banyak 'mengajar' saya.Seboleh mungkin saya cuba untuk mengetuk hati mereka dengan pelbagai pendekatan..biasalah..kadang kala 'menjadi' tak kurang juga sebaliknya.Ada kala isu panas berlaku...siang siang lagi mereka berbisik kepada warden ;makcik A datang tak ari ni?Dia tahu tak apa yang berlaku?Ha ah cemas juga mereka!


Menatap wajah mereka terbayang wajah anak anak saya.Sesungguhnya itulah perasaan hati seorang ibu mengharapkan yang terbaik untuk anak anaknya.Tidak mahu anak anaknya terjebak sebagaimana anak anak yang berada di depan mata..Pun begitu hatiku digamit rindu kepada mereka.


'Ok hari ini kita akan membincangkan surah apa anak anak?Tanya saya setelah mukadimmah yang panjang dibuat.'Hari ini surah At Takaatsur makcik'jawab salah seorang dari pelatih berkenaan.Apa makna At Takaatsur?'Bermegah megah makcik' jawab beberapa orang dikalangan mereka.

At Takaatsur
  1. Bermegah megah telah melalaikan kamu
  2. Sampai kamu masuk ke dalam kubur
  3. Janganlah begitu,kelak kamu akan mengetahui
  4. Dan janganlah begitu,kelak kamu akan mengetahui
  5. Janganlah begitu,jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.
  6. Niscaya kamu benar benar melihat neraka Jahim
  7. Dan sesungguhnya kamu benar benar akan melihatnya dengan 'ainul yakin
  8. Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan itu


Diakhir perbincangan ,saya memetik beberapa hadis yang dibekalkan oleh Rasul junjungan kepada umatnya yang dikasihi.

'Dari Abu Hurairah ra.Rasulullah SAW bersabda:Hamba bisa membanggakan hartaku,milikku,padahal yang berguna baginya dari harta kekayaan itu hanya tiga macam;yang dimakan hingga habis,atau dipakai hingga rosak atau disedekahkan hingga menjadi tabungan baginya pahala.Dan selain dari itu maka hilang atau ditinggalkan untuk orang lain.(Riwayat Muslim'

'Anas bin Malik berkata:Rasulullah SAW bersabda:Yang ikut menghantar orang mati ke kubur ada tiga iaitu keluarga,harta kekayaan dan amal perbuatan,maka kembali dua iaitu keluarga dan harta dan tinggal tetap bersama mayit amal perbuatannya(Riwayat Bukhari,Muslim,At Tarmizi,An Nasa'i)..

Disebut dalam hadis yang lain sifat manusia walaupun tua tetapi masih bersamanya 2 sifat iaitu sifat tamak dan panjang angan angan.

'Bagaimana anak anak untuk kita menghindarkan sifat ini?(Suasana yang cukup saya nantikan)..Banyakkan sedekah,makcik..banyakkan zikir kepada Allah...banyak istighfar,makcik...banyak..banyak dan banyak..banyak apa lagi anak anak?banyak mengingati MATI ,makcik... dann dan kalau dah ingat mati apa yang perlu kita buat?Saya menduga..kita kena buat persediaan ...jawab mereka beramai ramai..

Ya Allah,bantulah kami,berikan kepada kami kekuatan,kesabaran dan sentiasa taat dengan perintahMU..ampunilah kesalahan kami Ya Allah..

Tuesday, December 8, 2009

Kembara Cinta








Buah Chinta Cameron Highlands

Pantun 1

Apa diharap padi di seberang
Entahkan jadi entahkan tidak
Apa diharap kasihnya orang
Entahkan sudi entahkan tidak...


Pantun 2


Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Badan dan nyawa saya serahkan


Entah kenapa saya teringat 2 pantun di atas apabila mengetuk papan kekunci dimalam ini..Pantun1 saya faham seolah olah seperti ada perasaan merajuk atau memujuk hati agar tidak mengharapkan sangat sesuatu yang belum pasti.Manakala semasa saya remaja dulu pantun 2 itupun difahamkan bahawa perasaan orang dilamun cinta.Tetapi sedikit pendedahan telah diperolehi bahawa pantun 2 merupakan kecintaan para pejuang untuk mempertahankan kota Melaka dari terjatuh ke tangan penjajah.Rasa persaudaraan dan kecintaan sesama saudara seagama maka terungkaplah pantun berkenaan.Namun kenapa pantun ini menjadi pilihan?


Saya berpeluang untuk menghadiri Perhimpunan Perwakilan Nasional JIM baru baru ini.Walaupun ia merupakan saat saat akhir peluang ini terbuka kepada saya,saya dengan sepenuh hati menyertainya.Sungguh...hatiku rindu.Rindu kepada kawan kawan yang sudah lama tidak bersua muka.Rindu kepada sifu yang sangat tabah menunjuk ajar saya pada suatu ketika dulu.Rindu kepada pertemuan dengan semua yang sama sama menjejaki jalan yang sama...rindu..rindu...dan rinduku terubat jua akhirnya..
Betapa manisnya ikatan persaudaraan.Teringat janji Allah iaitu 7 golongan yang akan berada di bawah naungan Allah SWT di hari yang tiada naungan kecuali naungan Allah SWT sahaja.Salah satu golongan itu ialah dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah,bertemu dan berpisah kerana Allah SWT semata.Oooh alangkah indahnya...

Perjalanan kami agak jauh kali ini.Bertolak dari rumah lebih kurang pukul 6 petang.Tempat dituju nun hitungan ratusan km..tetapi kami cuba teruskan perjalanan selagi termampu.Akhirnya kami terpaksa turun dari highway menjejaki tempat untuk kami bermalam. Pada ketika itu jam menunjukkan 10.30malam.Pekan kecil itu telah sunyi dari kenderaan...Ahh rasa 'tidak selesa' memang wujud tetapi kami tawakkal kepada Allah...doa moga Allah permudahkan...'itu dia bang,hotel Nh ok gak'kata saya kepada suami..Walaupun bangunannya bangunan lama tetapi kelihatan kebersihan bangunan itu terjaga.Alhamdulillah..



Hotel N H



Selepas subuh kami bertolak dan terus mengambil anak di matrik.Kami meneruskan perjalanan ke destinasi..syukur kami sampai tepat pada waktunya..

Untuk sampai ke tempat penginapan kami sepanjang program,ianya memakan masa satu jam(jam,lampu trafik rosak,kesesakan memasuki lebuhraya dsbgnya).Namun ianya cukup berbaloi.Lokasinya cukup mendamaikan.Didepan bilik sewaan ada kolam renang manakala disebelah kanan bilik mengadap kolam dikelilingi bukit bukau.Sudah tentu suasana kehijauan mewarnai pemandangan.

Tempat penginapan kami sepanjang program


Seusai program kami meneruskan perjalanan setelah 'memulangkan' semula anak kami.Kami terpaksa mencari tempat bermalam yang sesuai.Untuk sampai ke rumah kami pada malam itu memang mustahil.Badan penat..'Apa kata kita tidur di Cameron Highlands' ..cadang suami.Untuk sampai ke KL lagi jauh berbanding Cameron'sambungnya lagi.Kami terus mendaki dikegelapan malam.Cuma sekali sekala berselisih dengan kenderaan.Masih belum dapat tempat penginapan.Cuba booking Sri Intan tetapi sudah penuh.'Kita redah jer bang,kita cuba cari chalet kat Taman Sedia,InsyaAllah ada'kata saya kepada suami sambil memujuk hati.

Taman Sedia merupakan penempatan majoriti muslim.Di situ terdapat tadika islam,surau dan Madrasah Tahfiz(kalau tak silap).Suasananya tenang.Kami menginap di Ros chalet(tiada bintang punya).Kami biasa tidur ala kadar saja hatta menjadi kegemaran kami tidur di hotel beribu bintang! Di belakang Ros Chalet terdapat kebun strawberri manakala disebelahnya terdapat anak sungai yang airnya cukup jernih!Di depan bilik kami terdapat kolam ikan yang kecil dipenuhi oleh ikan ikan koi dan seekor ikan tengas/kejor(ikan tempatan)



Anak sungai berhampiran Ros Chalet




Kolam ikan 'comel'


Menginap di Cameron Highlands ada kelainan tersendiri.Suasana alam semula jadi yang cukup mendamaikan disamping kos penginapan dan makanan yang berpatutan.Lainlah kalau kita memilih hotel 3 atau 4 bintang.Tentu menjangkau ratusan ringgit semalaman.Kita sering mendengar atau mengalami bahawa penginapan,harga barang dan sebagainya di tempat pelancongan agak mahal dari tempat tempat lain. Tetapi tidak di Cameron highlands.Ianya juga sudah menjadi tempat persinggahan kami untuk pergi dan balik ke kampong.